Sejarah Serba Dinamik

Serba Dinamik mula beroperasi pada 1993 di Bintulu, Sarawak dengan perkhidmatan pengoperasian dan jentera-jentera putar. Menjelang 2001, Serba Dinamik mula beroperasi di luar negara menerusi kontrak dengan loji gas asli di Qatar.[1]

Pada 13 Mei 2016, syarikat ini berubah daripada syarikat sendirian kepada syarikat awam berhad.[1] Pada 8 Februari 2017, Serba Dinamik berjaya memasuki pasaran saham Malaysia, dengan 26.7 juta unit saham didagangkan dengan pemerolehan sebanyak hampir RM600 juta, menjadikan ini sebagai tawaran awam awal terbaik dalam bursa Malaysia setakat itu.[2] Menjelang 2020-an, Serba Dinamik mula berkembang keluar daripada industri minyak dan gas dalam mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada industri tersebut, dengan fokus utama termasuk bidang teknologi maklumat, aeroangkasa serta sukan elektronik.[3][4][5]

Isu audit kewangan 2021

Bermula Mei 2021, Serba Dinamik terpalit dengan suatu isu berkenaan audit kewangan syarikat tahunan yang dikeluarkan oleh badan audit bebas, KPMG bagi tahun fiskal 2020. Hal ini berikutan pendedahan oleh pihak KPMG berkenaan sejumlah aliran wang yang disifatkan mencurigakan dengan nilai sebanyak sekurang-kurangnya RM3.5 bilion.[6][7] Hal ini mendapat perhatian Suruhanjaya Sekuriti yang melancarkan siasatan ke atas Serba Dinamik atas aliran wang itu.[8] Sementara itu, ketua pegawai eksekutif syarikat, Mohd Abdul Karim Abdullah berkata bahawa pihak syarikat "tiada melakukan sebarang masalah" dalam aliran wang syarikat.[9] Susulan itu, pihak Serba Dinamik melantik badan bebas serta beberapa orang ahli pengarah bebas untuk menyemak semula audit kewangan KPMG.[10] Salah seorang kumpulan pengarah itu, Mohamed Ilyas dilantik sebagai ketua lembaga syarikat.[11] Pada Jun, pihak Serba Dinamik memfailkan saman ke atas KPMG dengan dakwaan kecuaian dan spekulasi negatif dalam audit mereka.[12] Pada 24 Jun, pihak KPMG mengesahkan bahawa mereka meletak jawatan sebagai pengaudit bebas Serba Dinamik.[13]

Akibatnya, harga saham Serba Dinamik menjunam sehingga nilai terendah dalam sejarah penyenaraian Serba Dimamik dalam bursa saham Malaysia.[14] Menjelang Jun 2021, nilai pasaran Serba Dinamik jatuh sebanyak RM3 bilion atau lebih kurang separuh nilai pasaran asal.[15] Beberapa-beberpa syarikat dipegang KPE juga terkesan secara negatif.[16]

Rujukan

WikiPedia: Serba Dinamik https://theoutlook.asia/kenapa-serba-dinamik-beral... https://www.astroawani.com/berita-bisnes/serba-din... https://www.astroawani.com/berita-sukan/serba-dina... https://www.bursamalaysia.com/bm/trade/trading_res... https://www.e-serbadk.com/ https://www.e-serbadk.com/about-serba-dinamik/ https://www.theedgemarkets.com/article/cover-story... https://www.theedgemarkets.com/article/serba-dinam... https://www.theedgemarkets.com/article/serba-dinam... https://www.theedgemarkets.com/article/we-have-don...